PANDUAN BERPUASA
BAGI PESAKIT
Disahkan oleh:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
PENGGUNAAN UBAT DAN ALAT-ALAT PERUBATAN
KETIKA BERPUASA
Bagi pesakit yang menggunakan ubat dan alat-alat perubatan ke atas
anggota badan yang berongga seperti mulut, lubang hidung, telinga, dubur
(Suppository) dan faraj (Pessary) huraian masalah berkaitan adalah seperti
berikut :
1. Perkara-perkara yang berkaitan dengan rawatan perubatan yang tidak
membatalkan puasa ialah :
i. Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga
(dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga);
ii. Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang
diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi
merawat kesakitan dada (angina pectoris) bagi pesakit jantung;
iii. Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi
atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak
menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut;
iv. Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot,
sendi, atau salur darah;
v. Pendermaan atau pemindahan darah;
vi. Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan
plaster pada permukaan kulit;
vii. Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal;
viii. Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah untuk tujuan
pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan
jantung;
ix. Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan
menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen
untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit;
x. Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle
(sehingga air hampir ke tekak), dan ubat teraputik semburan ke
mulut yang tidak melibatkan proses menelan;
xi. Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yang
diambil daripada hati atau organ–organ lain untuk tujuan analisa
makmal;
xii. Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut;
xiii. Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada
hemodialisis atau peritonealdialisis;
xiv. Menjalani rawatan bius setempat atau separuh (local) dengan
semburan atau suntikan setempat; dan
xv. Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan
buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang
dalam.